Thursday 25 April 2013

Singkir pemimpin Melayu-Islam Anuti Pluralisme, LGBT

Pengaruh datuk Seri Anwar Ibrahim begitu kuat dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) sedangkan asas penubuhan gerakan yang bertunjangkan ilmu itu ialah mengambil sikap terbuka, sederhana dan tidak berpihak.

 Namun apabila berdepan isu Anwar, ABIM dilihat sewenang-wenangnya mengenepikan prinsip 'raison d-etre' atau asas pewujudannya, sedangkan bekas kepimpinan ABIM mempunyai latar belakang kepimpinan akademik yang baik dan berpengalaman luas dalam dakwah.

 Ikuti luahan bekas Naib Presiden ABIM yang juga Naib Presiden Persatuan peguam Muslim Malaysia, Azril Mohd Amin (foto) dengan wartawan BH, Azhar Abu Samah mengenai isu Anwar, LGBT dan pemimpin sekular liberal.


Bagaimana pandangan saudara mengenai sikap partisan ABIM terhadap politik Anwar Ibrahim. Sebagai badan dakwah dan tarbiyyah apakah bijak ABIM mengambil pendekatan sedemikian.

Pandangan saya konsisten dengan rakan-rakan bekas pimpinan ABIM yang pernah bersama-sama memimpin pertubuhan ini dan kritikal terhadap pendirian mereka yang taksub dengan politik DSAI. Jika kita meneliti objektif penubuhan ABIM serta visi dan budaya yang telah disepakati sekian lama oleh generasi-generasi terdahulu, nyata sekali bahawa ABIM telah bertegas mempertahankan sikap non-partisannya di dalam pelbagai isu yang melanda umat Islam di Negara ini.

Pada asalnya ABIM adalah sebuah gerakan yang bertunjangkan ilmu (knowledge-based) dan memilih untuk mengambil sikap terbuka serta sederhana (moderate) berasaskan realiti masyarakat setempat di samping memegang teguh prinsip-prinsip Islam serta kesepaduan ilmu, iman dan amal dalam rangka pembangunan manusia. ABIM menangani isu-isu politik,tetapi sentiasa bersikap non-partisan; bebas dan tidak memihak atau tunduk kepada kepentingan mana-mana parti-parti politik.

Dalam soal Anwar?

Hal ini tidak pula dijadikan sandaran setiapkali ABIM menangani isu DSAI. Raison d'ĂȘtre ABIM diketepikan sewenang-wenangnya apabila ABIM menangani isu Anwar Ibrahim ini. Malah, saya kecewa dengan sikap segelintir bekas kepimpinan ABIM yang berlatarbelakangkan akademik dan berpengalaman luas di dalam dakwah tetapi tidak objektif di dalam membuat penelitian mendalam terhadap isu yang melatari pemikiran dan sosok peribadi DSAI hanya kerana mereka taksub dengan beliau.

Saudara mengenali Dr. Sidek Baba sebagai bekas pemimpin ABIM yang rapat dengan Anwar Ibrahim dan ahli akademik dan juga dakwah. Apa pandangan saudara mengenai sikap yang diambil oleh Dr. Sidek terhadap Anwar Ibrahim.

Saya dididik di dalam suasana tarbiyah ABIM semenjak menyertai menara gading di Universiti Islam Antarabangsa seawall tahun 1993. Dr. Sidek Baba merupakan antara tokoh terawal yang memberikan sentuhannya pada proses mengenali PKPIM dan ABIM pada ketika itu. Bersama-sama dengan rakan-rakan seuniversiti, kami sering melazimi kunjungan ke rumah atau pejabat beliau untuk menekui asas-asas tarbiyah gerakan Islam dan mengupas isu-isu semasa menurut kacamata gerakan Islam.

Hal itu berlaku lebih 10 tahun yang lalu, dan saya melihat beliau masih lagi istiqamah di dalam meneliti kebenaran sesuatu isu, termasuklah apabila beliau berdepan dengan cabaran getir ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1999. Ketika itu saya di antara rakan anak sulung beliau yang paling awal dimaklumkan tentang penahanan itu. Saya berkongsi perasaan hiba dan takut yang menyelubungi keluaraga Dr Sidek, walaupun kami sekadar mampu berdoa untuk keselamatan beliau.

Pengalaman tersebut kami lalui dengan iltizam bahawa apa yang diperjuangkan adalah Islam dan bukannya sosok peribadi mana-mana pemimpin. Setelah bertahun-tahun beliau menegakkan perjuangan ini, sikap yang beliau ambil sekarang bukanlah sesuatu yang mudah dilakukan. Apabila beliau mengambil keputusan meninggalkan DSAI sebagai seorang sahabat dan menentang kemungkaran pemikiran dan perbuatan beliau, maka hal tersebut telah dilakukan setelah penelitian mendalam dilakukan, termasuklah merujuk pada kepada bekas-bekas rakan DSAI sendiri yang juga telah menimbangkan dilemma dan realiti di dalam membuat keputusan sukar tersebut.

Sebagai seorang aktivis sosial dan undang-undang apa pandangan saudara mengenai sikap taksub dan melampau yang wujud di kalangan setengah pihak sehingga tidak wujud keterbukaan untuk memahami sesuatu isu dan menyebabkan Umat Melayu berpecah-belah ?

Semasa isu Azlina Jailani, seorang wanita Melayu Muslim yang ingin murtad hangat diperkatakan di sekitar tahun 2006, umat Melayu-Islam bersatu di bawah gerakan besar NGO Islam yang bergabung di bawah nama PEMBELA. Ketika itu di kalangan pendukung-pendukung dua parti politik terbesar Melayu-Muslim, UMNO dan PAS bersatu demi memastikan aqidah umat Islam tidak diganggu-gugat anasir yang cuba menggunakan salurah Mahkamah atas nama kebebasan mutalk dan hak asasi manusia untuk membuka pintu berlakunya pemurtadan.

Kenapakah kita boleh bersatu di ketika itu dan tidak pada waktu ini lebih jelas cabarannya seperi cabaran sekularisme, liberalism dan pluralism sedang berlaku dengan deras dan meluas? Umat Islam seharusnya mengikis sikap taksub individu dan kepartian kerana kita berdepan dengan masalah yang lebih besar dari cabaran di sekitar kes Azlina Jailani tersebut.

Di pihak kami PEMBELA bersama NGO-NGO Islam yang lain masih terus berusaha menangani isu-isu tersebut yang berakar sumber 14 tuntutan di bawah cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) dan juga tuntutan-tuntutan lain yang berfalsafahkan kerangka hak asassi manusia liberal-sekular barat. Pandangan DSAI di dalam salah satu wawancara dengan BBC berkenaan hak Azlina Jailani untuk dibenarkan meninggalkan Islam (murtad) adalah salah satu punca yang menyebabkan ramai pengikut beliau keliru dan menetuskan perpecahan yang kita sedang hadapi pada hari ini.

Semenjak itu jugalah pelbagai kenyataan kontroversi berkenaan isu-isu pokok aqidah Islam, terutamanya ucapan beliau bertajuk “Religion and Pluralism in a Divided World” di LSE pada 18 Mac 2010 yang sarat dengan anutan pluralisme agama yang semakin mendedahkan siapa beliau sebenarnya dan mengapa pemikiran beliau perlu ditolak atas asas mengancam kesejahteraan aqidah umat Islam.

Sebagai Naib Presiden Persatuan Peguam Islam Malaysia, saudara aktif memperjelaskan kepada khalayak mengenai Malaysia sebagai sebuah negara Islam. Dalam konteks ini sepanjang pemerhatian saudara apakah kerajaan tidak berbuat apa-apa untuk Islam khususnya dalam bidang syariah.

Kedudukan Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan adalah jelas menepati tuntutan syara’ dan tuntutan realiti zaman ini. Keistimewaan pemeliharaan Islam sebagai agama Negara, dan peranan serta implikasinya kita nampak berlaku secara bertahap. Meskipun sudah 50 tahun berlaku, Malaysia sebenarnya telah mengangkat sistem pentadbiran undang-undang Islam dengan cara yang sangat sederhana tetapi mempunyai ruang yang sangat luas untuk diperbaiki. Sebarang tindakan drastik mengubah sistem yang sedia ada akan hanya membuka ruang untuk musuh-musuh Islam melancarkan stereotaip mereka mengenai undang-undang syariah sebagaimana yang berlaku di sesetengah Negara lain.

Malaysia sebagai contoh, merupakan Negara Islam pertama yang menghasilkan pelbagai mekanisme, produk dan instrument kewangan Islam berasaskan syariah yang diiktiraf dunia. Semua ini mengambil masa lebih 20 tahun dan berjalan seiring dengan penubuhan institusi-institusi pendidikan Islam serta penambahbaikan system kehakiman dan pentadbiran Islam di negeri-negeri.

Saya selalu percaya dengan landasan dan asas yang sedia wujud menurut kerangka Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang di peringkat negeri-negeri, generasi masa depan pasti akan dapat melihat pelaksanaan undang-undang syariah yang mencakupi keseluruhan aspek yang masih belum patuh syariah, termasuk undang-undang jenayah syariah. Kemungkinan hal ini tidak berlaku semasa hayat kita, tetapi yang penting, impian melihat undang-undang syariah sudah pun terjamin dengan realiti kedudukan islam di dalam Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Sebagai pengamal undang-undang saudara terdedah dengan perbincangan di peringkat antarabangsa mengenai Hak Asasi Manusia ikut acuan Barat. Bolehkah saudara perkongsi isu ini dan sikap yang patut kita ambil mengenainya.

Saya melihat secara kritis perkembangan yang berlaku di Malaysia semenjak zaman reformasi. Bagi saya, peristiwa tersebut telah mengundang bukan sahaja penafsiran pelbagai kata kunci penting seperti hak asasi manusia, kebebasan, kawalan moral, kebebasan beragama, demokrasi, tetapi sebenarnya telah membuka ruang seluas-luasnya kebanjiran organisasi-organisasi hak asasi manusia yang berkiblatkan fahaman sekular-liberal barat.

Hal ini tidak memeranjatkan oleh kerana dalam mana-mana Negara di dunia ini, setiap kali berlaku peristiwa-peristiwa besar, maka musuh pasti akan mengambil peluang menyelinap masuk untuk menanam bibit-bibit fahaman mereka mengenai agama, moral dan kebebasan. Ini juga telah berlaku kepada Malaysia apabila NGO-NGO hak asasi manusia tumbuh bagai cendawan selepas hujan, malah ada juga parti-parti politik yang cenderung terhadap fahaman sekular-liberal yang dibawa NGO-NGO tersebut oleh kerana ramai di kalangan pimpinan parti-parti politik tersebut sama ada pernah mendapat pendedahan latihan daripada NGO-NGO Hak Asasi Manusia di Barat atau masih lagi mempunyai hubungan rapat dengan mereka dan menjiwai fahaman tersebut. Apatah lagi dengan kerangka Deklarasi HakAsasi Manusia Sejagat (UDHR), kewujudan Internatonal Covenant of Civil and Political Rights (ICCPR) dan International Convenant on Economic and Social Rights (ICESR), Malaysia juga turut mengalami tempias serta tekanan-tekanan untuk patuh kepada standard universal hak asasi manusia, yang pada hakikatnya tidak semestinya sesuai dengan reality agama, budaya dan sejarah Negara.

Tetapi kecenderungan yang lebih membimbangkan ialah keakraban NGO-NGO ini dengan beberapa institusi yang bertopengkan hak asasi manuia, berserta dengan parti-parti politik pembangkang yang wujud di kalangan mereka bekas aktivis hak asasi manusia tetapi menceburi bidang politik sepenuh masa. Inilah yang membimbangkan. Mereka menjadi agen yang membawa fahaman liberal sekular tajaan barat dengan hak asasi manusia sebegai wadah perjuangan. Contoh yang paling mudah ialah apabila terdapat percubaan untuk memasukkan hak-hak LGBT ke dalam Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN yang mana jelas usaha tersebut telah didokong sesetengah pemimpin parti politik menerusi sokongan tidak langsung terhadap hak penganjuran Sexuality Merdeka yang mahukan hak-hak LGBT diiktiraf undang-undang dan diberikan keizinan untuk diamalkan secara terbuka.

Sebagai seorang yang peka mengenai nasib Umat Melayu di Malaysia bagaimana saudara membaca senario politik yang sedang berlaku sekarang. Apakah maslahah bijaksana yang patut diambil supaya kesatuan umat terjalin dan umat Melayu tidak terpinggir.

Agenda yang paling utama sekarang ini ialah untuk umat Islam mengenepikan perbezaan pandangan politik dan bersatu demi memelihara Islam di Negara ini. Hal ini boleh dilakukan secara lebih bijaksana sekiranya mereka mengenalpasti hal-hal yang merungkai bibit-bibit perpecahan di kalangan umat Islam. Dalam mencapai hasrat ini, para pemimpin Melayu-Muslim yang menganuti dan menyebarkan fahaman berbahaya seperti pluralism agama dan redha dengan budaya seks songsang seperti LGBT perlulah dikenalpasti dan disingkirkan dari menerajui sebarang inisiatif kepimpinan umat Islam.

Saya akui bahawa kerajaan BN yang ada sekarang ini bukanlah suatu kepimpinan yang sangat sempurna, namun begitu kelemahan yang wujud masih dapat diperbaiki dan yang paling utama aspek-aspek aqidah di dalam Negara ini tidak digadai dengan mengizinkan fahaman seperti pluralism agama dan hak-hak LGBT diamalkan di Negara ini. Sebaliknya, jika umat Islam ingin terus berbeza pendapat, maka mereka harus ingat bahawa bahaya yang menunggu mereka adalah lebih besar oleh kerana tiada jaminan bahawa kepimpinan alternative yang bersalutkan gula-gula janji yang Nampak menarik akan mempertahankan aspek aqidah yang sangat penting di dalam kesatuan umat Islam. Hal ini sebenrnya lebih penting apabila umat Islam mempertimbangkan pemilihan kepimpinan mereka.

Kepekaan terhadap membuat pilihan yang bijak adalah penting. Apa pertimbangan yang dapat saudara berikan supaya kepimpinan di Malaysia berada di tangan orang yang mempunyai kredibiliti tinggi disamping hubungan antara kaum terpelihara das kemajuan terhadap negara berlaku.

Seperti yang sebutkan sebelum ini, di hadapan kita wujud dua pilihan yang jelas dengan latarbelakang yang jelas. Kelemahan yang sedia wujud pada kerajaan BN tidak dicemari dengan kerosakan aqidah dan keizinan untuk fahaman-fahaman asing termasuk hak asasi manusia mutlak yang bersandarkan pada agenda secular-liberal barat.

Malah kerangka Islam di dalam Perlembagaan Persekutuan yang sedia ada sangat dipertahankan Kerajaan BN dan ruang untuk penambahbaikan sentiasdas terbuka luas justeru kredibiliti ini perlu dipertahankan. Malah aspek hubungan antara kaum juga telah terbukti berada di linear keamanan selama beberapa dekad meskipun kita akui hal tersebut tidak sempurna namun masih boleh diperkukuhkan. Hanya dengan mempertahankan kedudukan Islam menikut lunas dan acuan Perlembagaan Persekutuan, maka aspek hubungan antara kaum akan terpelihara oleh kerana ini adalah jaminan sebagaimana termaktub di dalam Artikel 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengungkapkan amalan agama selain Islam dalam damai dan harmoni.

Kekeliruan yang wujud susulan timbulnya fahaman seperti pluralisme agama dan hak-hak LGBT ini menzahirkan kecacatan pada kredibiliti kepimpinan pembangkang, yang pasti akan mengelirukan hubungan Muslim dan non-Muslim dan menjejaskan usaha membentuk tamadun yang selama ini kita impikan sebagai sebuah Negara Malaysia yang merdeka dan berdaulat.

No comments:

Post a Comment