Thursday 25 April 2013

DAP Hormati Pendirian PAS Tapi Hudud Tiada Dalam Manifesto

AIDCNews - 26/04/13 - Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata beliau menghormati pendirian Pas mahu melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang berjaya menawan Putrajaya, namun tegasnya, hudud tiada dalam manifesto pembangkang dan tidak akan dilaksanakan.

Guan Eng dilaporkan Mstar, walaupun DAP tidak bersetuju dengan perjuangan Pas untuk mewujudkan negara Islam ini bukan bermaksud, kedua-dua parti tidak boleh bekerjasama.


Jawapan Guan Eng senada dengan bapanya yang juga Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

"Saya ingin menjelaskan bahawa DAP tidak ubah pendirian dan tetap berpegang kepada Perlembagaan Persekutuan. Pakatan telah menyatakan bahawa hudud tidak terkandung dalam manifesto, pendirian bersama dan apa-apa prinsip bersama.

"DAP bagaimanapun tetap menghormati PAS dan ideologinya sama seperti PAS dan PKR menghormati DAP dengan ideologi DAP," katanya melalui satu kenyataan media.

Justeru Kit Siang mendakwa tidak timbul soal hukum hudud dalam perjuangan bersama pakatan pembangkang. Malah, katanya, PAS telah pun menjelaskan pendiriannya dalam konteks Negara Berkebajikan yang berfaedah kepada umat Islam dan rakyat Malaysia.

Pada Selasa, Timbalan Mursyidul Am Pas Datuk Dr Haron Din berkata hukum hudud akan dilaksanakan dalam kerajaan Pakatan walaupun DAP menentangnya.

"Saya yakin DAP akan menerima hudud kerana kesanggupan mereka bertanding menggunakan lambang PAS.

"Selepas itu barulah kami boleh meminda Perlembagaan Persekutuan untuk melaksanakan hukum hudud," katanya.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Maharhir Mohamad turut memberi respon terhadap polemik itu, menurutnya Pas tidak mungkin dapat melaksanakan hukum hudud di negara ini kerana parti itu tidak mempunyai suara majoriti di Parlimen untuk mengubah Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, jumlah kerusi yang ditandingi Pas iaitu hanya kira-kira 70 kerusi Parlimen tidak membolehkan parti itu membentuk kerajaan di peringkat Persekutuan.

Bagaimana Pas nak dirikan negara Islam? Kerusi Parlimen yang ditandingi Pas tidak pun sampai setengah daripada 222 kerusi yang ada.

"Dengan bilangan yang kecil di kalangan wakil rakyat Pas...itu pun kalau mereka menang, mereka tak mungkin ubah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Mengulas lanjut Dr Mahathir berkata, Pas perlu mendapatkan persetujuan sekutunya dalam pakatan pembangkang jika mahu terus melaksanakan negara Islam ala Pas.

"Kalau dia (PAS) ingin juga ubah Perlembagaan dan jadikan negara ini negara Islam dan hukum hudud dilaksanakan, mereka perlu minta tolong daripada PKR dan DAP.

"Kalau Pas dengan hanya bilangan kerusi kurang daripada 50 peratus ingin menukar Perlembagaan, mereka mesti mengemis minta pertolongan daripada DAP," katanya.

Bagaimanapun tegas Dr Mahathir, kenyataan Pas untuk tetap melaksanakan hukum hudud hanya sebagai modal politik untuk memancing undi.

Katanya lagi, walaupun Pas sedar mereka tidak akan berjaya mendapatkan sokongan DAP dalam isu berkenaan, tapi janji untuk melaksanakan hukum hudud tetap dibangkitkan bagi meyakinkan rakyat mengenai pejuangan mereka.

"Selagi DAP tidak terima perubahan Perlembagaan yang cadangkan oleh Pas dan selagi tak dapat majoriti dua pertiga yang menyokong cadangan Pas, maka cadangan itu tidak boleh dilaksanakan. "Tetapi untuk pilihan raya, katalah apa pun. Ini semua untuk mendapatkan undi," katanya.

No comments:

Post a Comment