Friday 26 April 2013

Hassan Ali : PAS Perlu Keluar Pakatan Untuk Laksana Hudud

Saya sangat tertarik kenyataan terakhir yang dikeluarkan oleh Timbalan Mursyidul Am PAS Tuan Guru Dato Dr Haron Din kelmarin. Kenyataan itu memetik beliau sebagai berkata bahawa pendirian beliau terhadap Hudud tidak pernah berubah dari dahulu sekarang dan akan datang. Beliau juga menyebutkan kemungkinan isu hudud ini menyebabkan PAS terpaksa keluar meninggalkan Pakatan Rakyat sebagai sesuatu yang tidak boleh dianggap sepi.


Hanya saya merasakan sedikit kecewa apabila orang yang saya hormati selama ini, Presiden PAS, Ustaz Hadi Awang mengeluarkan kenyataan yang kabur dan boleh dibaca sebagai percubaan untuk meredakan keadaan. Percubaan Presiden itu sekaligus membayangkan kononnya PAS akan terus melaksanakan hudud walaupun ditentang dengan hebat oleh pimpinan tertinggi DAP. Presiden PAS itu dilaporkan berkata bahawa walaupun DAP tidak bersetuju dengan perlaksanaan Hudud, mereka tidak pernah menentangnya.

Jelas kelihatan setiap kali isu ini ditimbulkan buat sekian lamanya, yang kelihatan begitu menggelabah ialah pimpinan tertinggi PAS. Sering dilihat seorang kata begini dan ditempat lain pimpinan yang lain pula mengatakan begitu. Tidak kurang pula terdapat pimpinan parti itu yang cuba mencari jalan tengah namun sehingga ini tidak mendapat sokongan daripada ahli dan penyokong PAS.

Bagi DAP rakyat melihat betapa istiqamahnya mereka mempertahankan posisi yang mereka ambil seperti yang dirumuskan secara konsisten oleh pengerusi parti itu Karpal Singh. Hinggakan Karpal Singh sanggup mengatakan bahawa DAP bersedia menggunakan lambang bulan PAS dalam PRU ke 13 sekiranya Pendaftar Pertubuhan tidak memberi izin kepada DAP menggunakan lambang milik mereka. Yang jelas Karpal Singh mewakili DAP tanpa ragu-ragu menimbulkan buat sekian kalinya DAP boleh guna lambang PAS tetapi akan terus menentang segala bentuk percubaan untuk menubuhkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Bagi DAP penggunaan lambang PAS itu semata-mata dilakukan atas dasar pertimbangan politik semata-mata, tidak lebih dari itu.

Kecuali Dato Dr Haron Din yang kelihatan terus berpijak dan tegak dengan pendirian yang telah diwarisi sejak hampir 60 tahun yang lalu yang lain kelihatan tenggelam dalam kecelaruan. Sebenarnya PAS memerlukan lebih ramai manusia “Haron Din” dalam saf kepimpinannya.

Tetapi saya ada sedikit kebimbangan kalau-kalau nanti sekiranya PAS terus dikuasai oleh golongan Anwarinas atau parasit, pemimpin seperti Dato Dr Haron Din akan dipencilkan seperti apa yang berlaku kepada saya dan Ust Nasharadin Mat Isa.

Bagi sesetengah penganalisa politik yang buat sekian lamanya mengikuti perkembangan ini, kebanyakannya membuat rumusan demi untuk keberlangsungan Parti Islam itu jalan yang ada hanya satu sahaja. Terus menerus menggelabah dan hilang punca tidak akan membantu PAS. Sebaliknya apa yang hendak dibayangkan oleh Mursyidul Am Nik Aziz dan kelmarin digambarkan dengan lebih jelas lagi oleh Dato Dr Haron Din bahawa satu-satunya jalan penyelesaian supaya isu ini tidak diremeh dan dipermainkan bagi parti Islam itu secara decisive keluar meninggalkan Pakatan Rakyat. Opsyen yang lain dengan alasan-alasan yang tidak munasabah seperti mengatakan isu Negara Islam dan Hudud tidak ada dalam manifesto seperti yang dikatakan oleh salah seorang Naib Presiden PAS adalah datangnya daripada mereka yang mengidap penyakit otak.

Kepada mereka yang sentiasa mengikuti perkembangan ini bersetuju dengan fakta yang berada dihadapan bahawa selagi PAS berada di dalam Pakatan Rakyat dan sepanjang masa tunduk di bawah telunjuk DAP dan PKR selagi itulah apa yang digembar gemburkan hasrat untuk menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud hanya tinggal sebagai khayalan dan seperti mimpi di siang hari sahaja. Sepatutnya dengan semangat daya juang dan daya tahan yang telah dipahatkan di dada ahli-ahli dan penyokong PAS sepatutnya sudah lama PAS mengambil tindakan drastik dan decisive seperti yang telah dibayangkan oleh Mursyidul Am dan Timbalannya.

Akhirnya, bayangan tindakan drastik yang dikatakan menjadi satu-satunya opsyen yang ada bagi parti Islam itu hendaklah didemontrasikan dengan jelas dan nyata sebaik-baiknya menjelang datang 5hb Mei 2013. Ramai mengatakan jika PAS mengambil keputusan ini sudah semestinya PAS menjadi satu parti pilihan rakyat dalam PRU ke 13 ini disamping mengembalikan semula keyakinan ahli dan penyokong parti itu terhadap prinsip perjuangan parti yang diperjuangkan selama ini.

DATO DR HASAN MOHAMED ALI
Presiden JATI
Tmn Tun Dr Ismail
26 April 2013

No comments:

Post a Comment