Thursday 25 April 2013

Pas Tersepit Kerana Ugutan DAP

Dr Mashitah Ibrahim - Mursyidul Am Datuk Nik Aziz Nik Mat suka jika DAP mahu guna lambang Pas dalam pilihan raya umum kali ini. Bagaikan ‘rezeki bergolek’, katanya.

Tapi ramai ahli Pas, terutama golongan tua dan penyokong tegarnya, tidak bersetuju.

Bekas Timbalan Presiden Nasaruddin Mat Isa sangsi DAP setuju dengan dasar Pas walaupun mahu guna lambang partinya.

Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din berpendapat DAP mesti menerima dasar Pas jika guna logo bulan putih, malah Pas akan tetap melaksanakan hukum hudud jika pakatan pembangkang memerintah negara.

Kata Dr Haron, DAP dan PKR mesti bertolak ansur bila tiba masanya. Tapi DAP tidak peduli apa pandangan beliau atau mana-mana pemimpin Pas.

Bagi Pengerusinya Karpal Singh, pemimpin Pas boleh cakap apa saja atau letak syarat apa sekalipun, partinya tetap tidak bersetuju dengan konsep negara Islam dan hukum hudud. Noktah.

Penggunaan lambang bulan putih hanya mencerminkan kerjasama, bukan membabitkan penerimaan dasar Pas, tegas Karpal.

Di sinilah letaknya anomali terbesar dalam hubungan Pas-DAP dalam Pakatan Rakyat.

Rakyat, apatah lagi penyokong kedua-dua parti, jadi bingung dan keliru dengan pelbagai kenyataan bercanggah pemimpin kedua-dua pihak. Tidak ada titik temu dalam soal asas ini.

Pemimpin dan penyokong Pas perlu terima hakikat bahawa DAP tidak akan berundur daripada pendiriannya untuk menegakkan negara sekular, menentang pelaksanaan negara Islam dan undang-undang berdasarkan syariah.

Pendirian DAP ini konsisten sejak dulu lagi. Malah, pada 20 Mei 1992, DAP mengeluarkan Deklarasi Cameron Highlands yang memberi amaran kepada Pas untuk gugurkan hasrat menubuhkan negara Islam, kerana itu akan memburukkan masalah polarisasi kaum dan agama di Malaysia.

Begitu juga penolakan DAP terhadap Dokumen Negara Islam yang dilancarkan Pas 10 tahun lalu. Penasihat DAP Lim Kit Siang bingkas membantah dokumen yang dianggap tidak demokratik dan melanggar hak asasi rakyat bukan Islam dan semangat kontrak sosial, Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963, Rukun Negara 1970 serta Manifesto Bersama Pembangkang 1999.

Menurut Kit Siang, hasrat Pas menubuhkan negara teokrasi akan menjadikan orang bukan Islam diperintah pemimpin Islam.

Maknanya, orang bukan Islam tidak boleh menjadi Perdana Menteri, Ketua Hakim dan Panglima Angkatan Tentera. Dia juga tidak setuju dengan konsep negara Islam dikaitkan nama atau kuasa Tuhan kerana dianggap sebagai cubaan mengekang demokrasi dan hak asasi.

Pemimpin DAP masih berpegang kepada janji Nik Aziz yang memberi jaminan Pas tidak akan menubuhkan negara Islam dalam satu dialog di Persidangan Gereja-Gereja Malaysia di Petaling Jaya pada Mei 2000. Jaminan yang sama dibuat oleh Setiausaha Agung Pas Datuk Mustafa Ali dalam rancangan wawancara Hardtalk di BBC pada September 2003.

Kit Siang mengingatkan bahawa DAP mengemukakan pendirian rasmi mengenai negara Islam Pas pada awal 2001, yang mana salah satu perkara disebut ialah: “Walaupun Pas bercadang menubuhkan sebuah negara Islam, ia menerima hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, penubuhan negara Islam adalah tidak sesuai atau sesuatu yang praktik.”

Apabila Pas tidak menerima perkara ini ketika itu, DAP bertindak memutuskan kerjasama politik dengan Pas dan keluar daripada Barisan Alternatif pada 2001.

Mesej terbaru Karpal, Kit Siang dan pemimpin DAP ialah andainya Pas dan pemimpinnya seperti Dr Haron masih berdegil dengan negara Islam dan hukum hudud, besar kemungkinan DAP akan keluar daripada pakatan pembangkang seperti pernah dilakukannya 12 tahun lalu.

Soalnya: Adakah Pas takut dengan kegagalannya melaksanakan hukum hudud atau takut kepada ugutan DAP?

No comments:

Post a Comment