AIDCNews - 25/04/13 - Ustaz Ismail Mina berkata jika ABIM berterusan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim imej ABIM sebagai badan dakwah akan tercalar kerana Ketua Umum PKR itu diselubungi pelbagai isu terutama berkaitan dengan akidah iaitu plularisme agama.
Lebih parah lagi ABIM telah meminggirkan pengasas-pengasas ABIM termasuk dirinya, Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Zakaria Hashim, Datuk Kamarudin Mohd Noor dan aktivis-aktivis ABIM seperti Profesor Datuk Dr Sidek Baba, Dr Yusri Mohamad semata-mata kerana mereka tidak bersetuju dengan Anwar Ibrahim.
UTUSAN: Sebagai orang yang terlibat bersama ABIM di peringkat awal dan akrab dengan Anwar sekian lama, apa pandangan saudara dengan sikap partisan ABIM terhadap politik Anwar Ibrahim.
ISMAIL: Saya memang salah seorang pengasas ABIM bersama kawan-kawan yang lain seperti Tan Sri Sanusi Junid, Datuk Zakaria Hashim, Datuk Kamarudin Mohd Noor dan beberapa lagi. ABIM sebagai sebuah organisasi, sejak tertubuhnya lagi berpegang kepada prinsip non partisan. Tetapi, ketika Anwar menyertai UMNO dan berada dalam kerajaan, ABIM mengambil keputusan menyokong beliau.
Kemudian, apabila dia disingkirkan daripada UMNO dan menubuh parti sendiri, ABIM mengambil pendirian bersama dengan beliau dan mendokong falsafah dan konsep politik Anwar sehingga ada semacam deklarasi bahawa warga besar ABIM wajib bersama Anwar.
Dalam sistem demokrasi seperti Malaysia ini, memang kita perlu ada kesedaran politik, tetapi apa yang dikesalkan ialah ABIM sebagai sebuah organisasi masyarakat dan dakwah, tidak wajar menyebelahi mana-mana parti politik kerana anggota ABIM mungkin mempunyai pelbagai fahaman politik atau dari sisi lain, tidak semuanya mendokong Anwar.
Kalau secara individu tidak mengapa nak sokong siapa pun, parti apa pun, tetapi dengan memaksa dan mengheret ABIM sebagai sebuah organisasi, mesti menyokong Anwar, itu yang tidak betul dan dibangkang keras oleh ramai pengasas ABIM, beberapa pemimpin negeri dan juga ahli biasa.
Kalau ada yang nak masuk parti politik dan sokong Anwar tak mengapa dengan syarat mereka mesti tinggalkan jawatan dalam ABIM dan jangan ganggu perjalanan ABIM melalui kuku besi yang tak nampak. Biarkan ABIM diurus oleh orang yang benar-benar mendokong dasar non partisan dan berdakwah secara bebas tanpa terikat kepada seseorang individu.
Anwar sedar bahawa dia sangat-sangat memerlukan kumpulan Islam, maka dengan naif politik dalam kalangan pimpinan dan Majlis Syura ABIM yang dikuasai 100 peratus oleh orang Anwar, maka mereka mudah membuat manipulasi.
Sebab itu Majlis Syura ABIM tidak memanggil Datuk Dr. Sidek Baba hadir bermesyuarat. Dr. Yusri juga tidak dimasukkan sebagai ahli Syura, walhal bekas Presiden ABIM secara automatik menjadi ahli majlis syura. Juga pengasas ABIM yang sudah tidak aktif dalam politik dan senior-senior ABIM yang banyak memberi sumbangan fikiran, tenaga dan kewangan, tidak dijemput menjadi ahli syura seperti Datuk Zakaria Hashim, Amin Hashim dan ramai lagi. Kenapa?
Kerana mereka itu semua sudah mufaraqah dengan Anwar. Atau syura takut kalah hujah dalam mesyuarat dan agenda menyokong Anwar terhalang.
Sebagai rakan karib Anwar sejak di Universiti Malaya, Yayasan Anda dan dalam ABIM, apa yang tidak kena pada Anwar hingga saudara mengambil sikap meninggalkannya?
Asas penubuhan ABIM ialah memperjuangkan Islam Sunnah Waljamaah. Dalam usrah-usrah, tamrin atau program membina jati diri atau sahsiah, program kepimpinan dan wacana-wacana pemikiran dan keilmuan, semuanya adalah dalam skima pemikiran dan ajaran Ahli Sunnah Waljamaah.
Rupa-rupanya semua wacana Sunni dalam semua program ABIM itu, semacam mencurah air di daun keladi semata-mata, tidak ada kesan dalam akal, kefahaman dan hati. Ini dibuktikan apabila Revolusi Syiah Khomeini berjaya, ABIM di bawah pimpinan Anwar, menjadi ejen penyebaran doktrin dan akidah Syiah di Malaysia. Buku Khomeini diterjemahkan pada hal buku tersebut amat bercanggah dengan akidah Sunnah Waljamaah.
Pada masa itu saya sudah bangkang mereka. Alhamdulillah, ABIM sekarang tidak menerima Syiah lagi. Walaupun ABIM menolak fahaman Syiah, tetapi mereka tetap tidak dapat memisahkan diri daripada Anwar.
Saya mengikuti pemikiran Anwar. Saya menelaah Asian Renaisance tulisannya dan di situ saya mula terhidu faham liberalisme agamanya. Dalam perjumpaan di rumah Profesor Osman Bakar, dia mengaku bahawa di situ sudah ada bunga-bunga fahaman liberalisme dan pluralisme agamanya. Alhamdulillah dia mengaku. Masa membaca buku itu, saya masih belum tolak dia lagi.
Saya benar-benar menolak beliau apabila kami meneliti tulisan yang beliau ucapkan di London School of Economics, Universiti London. Beliau nyatakan bahawa seseorang Islam tidak boleh mengatakan yang agama lain itu salah dan katanya semua orang yang beragama akan selamat ertinya selamat daripada masuk neraka.
Pegangan ini bercanggah dengan akidah Islam. Boleh membawa kepada murtad. Maka kami mengambil keputusan, mengadakan wacana ilmiah dan majlis penerangan di seluruh negara bagi menerangkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dibawa oleh Anwar adalah bercanggah dengan Islam dan wajib umat Islam menolaknya.
Pegangan ini bercanggah dengan akidah Islam. Boleh membawa kepada murtad. Maka kami mengambil keputusan, mengadakan wacana ilmiah dan majlis penerangan di seluruh negara bagi menerangkan fahaman liberalisme dan pluralisme agama yang dibawa oleh Anwar adalah bercanggah dengan Islam dan wajib umat Islam menolaknya.
Apabila saudara meragui Anwar tentang isu liberalisme dan pluralisme agama, berlaku pertemuan di rumah Profesor Osman Bakar yang Anwar turut hadir dan menyatakan sesuatu mengenai isu itu. Apa yang dikatakan oleh Anwar dan apa yang berlaku selepas itu?
Apabila kami meneliti ucapan beliau, kami mengadakan wacana mengenai fahaman liberalisme dan pluralisme agama. Ekoran daripada wacana kami itu, beliau meminta untuk bertemu dengan kami. Saya amat bersetuju dengan harapan semoga beliau menarik balik fahaman tersebut. Dalam pertemuan pada malam itu, dia mengaku yang dia menulis perkara tersebut. Dia kata, 'longgar' sikit. Saya menjawab, 'tak sedikit'. Dia bersetuju nak edit tulisan tersebut bersama Profesor Osman dan saya. Tetapi dia tidak menepati janjinya untuk mengedit. Malah selepas perjumpaan tersebut, beliau mengungkit perkara tersebut dengan memperleceh kami dalam ceramah politik beliau.
Di depan orang ramai yang tak faham isu itu bolehlah dia temberang tetapi dalam perjumpaan pada malam tersebut seperti kata pepatah Melayu - dia seperti, tikus di depan kucing! Hingga kini dia tak edit tulisan tersebut. Dan yang menggelikan hati ialah selepas perjumpaan itu Anwar telah mengeluarkan tulisannya itu dari blog beliau, tetapi tak lama kemudian dimasukkan balik dan selepas itu dibuang semula. Dia tetap yakin dengan akidah pluralisme agamanya itu hingga sekarang. Malah untuk mendapat simpati masyarakat Islam dan untuk mempertahankan akidah palsunya itu, dia mengaitkan pula beberapa ulama Islam ke dalam kelompok batilnya itu.
Kalimah Allah berkait rapat dengan isu akidah - tauhid. Bila Anwar mengambil pendirian kalimah Allah boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dan Majlis Syura Pas mengambil pendirian sebaliknya, apa pendapat saudara mengenainya?
Memang benar, kalimah Allah adalah berkait rapat dengan akidah dan tauhid. Salah konsep mengenai kalimah ini, akan menyebabkan seseorang itu menjadi kontra tauhid ertinya menjadi syirik. Oleh sebab itu, Nabi Muhammad SAW datang mengajar tauhid yang benar dan membetulkan fahaman dan konsepsi salah mengenai Allah kepada golongan Yahudi, Nasrani-Kristian dan Musyrikin.
Yahudi percaya Allah memiliki anak bernama Uzair, Nasrani percaya Isa anak Tuhan di samping yang percaya Allah ada anak perempuan dan sebagainya. Sesuatu yang Anwar keliru ialah dalam hujah-hujahnya di depan orang bukan Islam, katanya perkataan Allah sudah ada sejak sebelum kedatangan Nabi SAW lagi, sebab itu ayahanda Baginda bernama Abd Allah atau Abdullah.
Anwar keliru kerana dua fakta. Pertama kalimah Allah dalam tradisi Ibrahimiyah, Musa dan Isa dan Khalid bin Sinan adalah menepati konsepsi tauhid yang benar. Tetapi konsepsi ini telah mengalami proses dekonstruksi epistemologi sehingga Baginda Muhammad SAW datang membetulkannya.
Ya, memang benar orang Musyrikin pun percaya kepada wujudnya Allah tetapi seperti yang dinyatakan oleh Allah sendiri di dalam al-Quran, bahawa mereka menggunakan berhala dan patung-patung sebagai alat atau objek atau perantara untuk mendekatkan diri kepada Allah sebab itu di dalam al-Quran, Allah menyatakan kepada kita bahawa jika golongan Musyrikin itu ditanya siapa yang menjadikan semesta Alam ini, pasti mereka akan menjawab Allah. Akan tetapi, konsepsi Allah yang mereka faham itu bertentangan dengan konsepsi Allah seperti di dalam Surah al-Ikhlas dan seperti yang diajar oleh Nabi SAW.
Kedua, Anwar terlalu naif dalam isu kalimah Allah ini apabila ia menjadi juara memperjuangkannya supaya kalimah tersebut boleh digunakan oleh orang bukan Islam. Dia terlalu amat naif kerana golongan gereja mahu menggunakan perkataan yang biasa dengan budaya dan masyarakat tempatan untuk tujuan memurtadkan orang Islam.
Di Bangladesh, gerakan Evangelican ini tidak menggunakan perkataan Allah di dalam Bible menggantikan God tetapi menggunakan perkataan Iswar, kerana perkataan ini biasa dipakai dalam masyarakat Hindu di Bangladesh bagi merujuk kepada Tuhan Kristian.
Kami mendapat kritikan apabila kami terus menerus menerangkan bahawa kalimah Allah hanya semata-mata boleh digunakan oleh orang Islam sahaja. Di Selangor, program menjelajah untuk menerangkan isu ini, telah diperintah oleh pihak berkuasa negeri supaya dihentikan. Sementara Pas pula, walaupun telah difatwakan oleh Majlis Syura Ulama mereka tetapi aktivis mereka tetap berkeras berkata, kalimah Allah boleh digunakan oleh orang bukan Islam.
Yang penting juga ialah Anwar langsung tidak menghormati fatwa rakan tahalufnya itu yang melarang penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam dan Pas pula tidak berani mengambil apa-apa langkah mencegah Anwar daripada terus memperjuangkan isu tersebut. Sepatutnya Pas bertegas meminta Anwar berhenti daripada bercakap isu ini kerana bercanggah dengan fatwa mereka.
UTUSAN: Sebagai Presiden Pertubuhan Muafakat Malaysia, apa pandangan saudara mengenai senario umat Melayu dan politik? Dan apakah maslahah dan kebijaksanaan dari sudut Fikah dan Maqasid Syariah, pendirian yang patut diambil supaya umat Melayu tidak terpinggir?
ISMAIL: Keadaan umat Melayu sekarang ini, bahkan dari dulu lagi memang ada perbezaan dari segi pendekatan politik oleh dua parti besar orang Melayu. Mereka berbeza hanya dari segi pendekatan tetapi tidak berbeza dari segi inti dan matlamat politik.
Tetapi sekarang ini, terdapat parti-parti politik orang Melayu yang telah menghancurkan inti dan matlamat perjuangan politik bermaruah mereka.
Dan ada pula parti politik Melayu yang baru wujud yang tidak mempunyai cita-cita untuk memartabatkan Islam dan Melayu kerana terperangkap dalam gelung Zionis dan agenda memurtadkan orang Islam dengan fahaman liberalisme-pluralisme agama.
Atas nama reformasi dan perubahan, mereka sebenarnya mahu merubah agama Islam menjadi seperti Reformed Jews.
Hakikatnya mereka menjadi ejen pemusnah agama dan bangsa sebab itu ada kalangan golongan ini membenarkan orang Melayu Islam boleh murtad. Dalam kes Lina Joy, mereka berkata itu adalah hak dia.
Ada parti politik yang berjenama Islam pula, sanggup bersekongkol dengan parti politik yang terang-terang menentang Islam, menentang kedudukan istimewa Islam dalam Perlembagaan Malaysia sebagai agama negara. Tidakkah ia pelik?
Parti politik Melayu-Islam wajar kembali segera kepada Maqasid Syara iaitu memelihara negara dan Dinul Islam. Dalam teori dan doktrin politik Islam Sunni, kuasa politik digunakan untuk memelihara agama, perpaduan ummah dan negara. Maka untuk mencapai maksud dan cita-cita ini, pendirian yang patut diambil oleh parti politik orang Melayu ialah menghayati doktrin politik Islam Sunni.
Ahli teori politik Islam menerangkan, adalah menjadi tanggungjawab pemimpin, melalui kuasa politik, memelihara ajaran Islam itu, melalui pengurusan yang baik dan berkesan, supaya ajaran Islam tidak rosak dan ummah selamat daripada berpecah.
Sebab itu Khalifah pertama Abu Bakar RA, menggempur golongan anarkis yang mahu merosakkan kestabilan negara. Baginda Abu Bakar RA menggunakan kuasa politik mempertahankan kesatuan dan keutuhan negara. Perpecahan kalangan ummah Islam dan dalam konteks kita di Malaysia ini, berpunca daripada pelbagai faktor.
Seperti saya katakan, dahulu orang Melayu ada berpecah dalam politik tetapi bukan perpecahan dari segi inti tetapi sekarang perpecahan ini berpunca daripada fahaman yang kontra Sunah seperti dalam tubuh Pas, ada akidah Syiah, liberalisme agama, tajsim dan sebagainya. Ini yang membuat masyarakat berpecah. Maka apa yang wajib dibuat sekarang ialah kembali kepada wacana Sunni dalam semua perkara: akidah, syariat, akhlak, ilmu, epistemologi termasuklah dalam politik.
Mengapa saudara agak kritikal dengan kepimpinan Pas terutama dalam soal perpaduan ummah? Apakah secara ideologi gagasan negara Islam, faham sosialis, sekular dan faham liberalisme dan pluralisme agama boleh menjadi gandingan untuk membina negara Malaysia?
ISMAIL: Ya, beberapa rakan karib saya dan saya, memang rapat dengan pimpinan Pas terutama dengan Allahyarham Ustaz Fadhil Noor. Ramai yang tidak tahu, Ustaz Fadhil mempunyai pandangan politik yang tajam dan berpandangan jauh. Ia amat prihatin mengenai perpaduan ummah, sebab itu beliau sudi hadir dalam majlis di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang juga turut hadir Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir.
Beberapa hari sebelum program tersebut dibuat, beliau bertanya pendapat kami dan kami menyatakan persetujuan. Demikian juga dalam isu kerajaan perpaduan. Semasa hayat beliau, kami sering bertukar pandangan dan kami bersetuju dengan gagasan tersebut dan menariknya beliau turut bersetuju.
Gagasan ini, saya difahamkan turut dipersetujui oleh Majlis Syura Ulama Pas sekarang ini. Tetapi ia tidak menjadi kenyataan kerana dikatakan kena veto oleh seseorang daripada majlis tersebut. Ini yang saya tidak faham kerana kalaulah ini syura Islam, maka wajar dipegang dan dipatuhi dan dari perspektif demokrasi pun, satu tidak boleh membatalkan majoriti.
Secara ideologi, memang tidak ada keserasian bahkan ada pertembungan antara Islam dengan ideologi sosialis, sekular dan liberalisme dan pluralisme agama yang ada dalam pakatan pembangkang.
Dalam PKR misalnya, semua unsur tersebut ada. Ada penganut pluralisme agama, ada sosialisme dan ada sekular totok. Malah dalam Pas sendiri ada ideologi dan akidah pluralisme agama. Ada fahaman syiah, liberal dan sunah.
Jika pakatan pembangkang dapat kuasa membentuk negara, saya pasti mereka tidak akan dapat bertahan lama kerana masing-masing fahaman akan berkeras mahu melaksanakan fahaman masing-masing.
Dan dengan mengenali PKR dan DAP yang cukup licik dan dominan pada masa ini, suara Pas akan tenggelam. Jika Pas masih mahu bersama pakatan rakyat, mereka perlu menyesuaikan diri dengan ideologi PKR dan DAP.
Ini tidak mustahil, kerana sekarang pun mereka sanggup bekerjasama dalam konsep tahaluf sekular dan suara ulama sunni sudah tenggelam pun dalam Pas. Dan suara liberal dan kontra sunni semakin lantang.
Apakah saudara melihat masyarakat harus membuat pilihan yang bijak supaya Malaysia terus membangun dan Islam menjadi faktor penting dalam pembangunan Malaysia?
ISMAIL: Demi kelangsungan umat dan untuk menjayakan agenda Islam seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, seperti yang terdapat dalam teori politik Islam Sunni - bukan Khawarij atau Syiah atau lainnya - Imam al-Ghazzali pernah berkata, kuasa politik itu amat penting.
Kuasa politik bertujuan memelihara agama yakni Islam, tanpa menganiaya dan berlaku zalim kepada penganut agama bukan Islam. Ini dilarang. Perlembagaan pun menjamin perkara itu.
Masyarakat Islam tidak boleh memilih pemimpin yang berfahaman songsang agama seperti fahaman liberalisme dan pluralisme agama dan syiah. Ini akan merosakkan ajaran Islam kerana mereka mengubah ajaran akidah dan syariat serta akhlak Islam.
Betapa tidak, mereka mewajarkan orang Islam boleh murtad dan membenarkan orang Islam berkahwin dengan orang bukan Islam tanpa orang bukan Islam itu menukarkan agama mereka kepada Islam seperti kata Khalid Jaafar, tokoh penting PKR.
Syiah pula menolak hadis yang diriwayat oleh ahli sunah dan menolak segala fatwa ahli sunah. Jika parti politik yang berfahaman liberalisme-pluralisme agama dan syiah ini berkuasa, maka akan terhapuslah ajaran Islam yang sebenar.
Oleh yang demikian, adalah wajib syarie bagi masyarakat Islam, tidak memilih orang yang berfahaman liberalisme dan pluralisme agama serta berfahaman syiah menjadi pemimpin mereka atas maslahah agama.
Jika golongan liberalis-pluralis agama berkuasa, maka agenda Islam akan terbantut, malah akan terhapus, kerana fahaman agama mereka ialah semua agama sama sahaja dan Islam tidak boleh diberi keistimewaan.
Jika masih mahu memakai jenama Islam mereka akan pakai nama Islam liberal-plural seperti di Indonesia.
Buku-buku Islam liberal Indonesia dah banyak diulang cetak oleh IKD sebuah organisasi yang memberi promosi kepada fahaman liberalisme dan pluralisme agama di Malaysia dan ada kaitan dengan tokoh politik pakatan pembangkang.
Mereka menerbitkan buku-buku seperti pluralisme agama, kahwin campur antara Muslim dan bukan Muslim yang isinya menyatakan, orang Islam boleh berkahwin dengan orang bukan Islam dan banyak lagi ajaran yang bercanggah dengan Islam Sunni. Maka pilihan yang ada pada masyarakat Islam ialah memilih pemimpin dan kumpulan politik yang membela Sunnah Waljamaah dan menolak golongan liberalis-pluralisme agama.
Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai contoh, pernah buat kenyataan terbuka, menolak fahaman pluralisme agama tapi saya tak dengar ada kenyataan macam itu oleh Anwar dan kawan-kawannya. Jakim pula buat banyak aktiviti yang bertujuan untuk memperkukuhkan kefahaman masyarakat kepada Islam Sunni dan tidak dihalang oleh kerajaan bahkan menjadi agenda kerajaan.
Contoh paling klasik ialah polisi kerajaan sekarang, membantu pusat pendidikan Islam pondok yang selama ini terpinggir bahkan akan diwujudkan Universiti al-Quran.
Polisi kerajaan yang seperti inilah yang diharapkan oleh masyarakat Islam, bukan polisi yang mahu memesong dan merosakkan ajaran Islam seperti fahaman liberalisme dan pluralisme agama dan syiah itu. Maka pilihan masyarakat Islam ialah menyokong kepimpinan yang membela Sunah Waljamaah. Tidak selainnya. Ini menepati Maqasid Syara iaitu hifzuddin atau memelihara agama Islam.
No comments:
Post a Comment