Sehari dua
ini timbul pula kisah kesediaan PAS memberi izin kepada DAP menggunakan lambang
bulannya. Ini berikutan dengan terdapat kemungkinan bahawa Pendaftar Pertubuhan
berkemungkinan tidak mengizinkan DAP menggunakan lambang roketnya akibat
masalah yang dihadapi oleh parti itu di dalam pemilihan pucuk pimpinan pada 15
Disember yang lalu.
Sejak sebelum
hari penamaan calon lagi DAP telah membayangkan hasrat mereka untuk menggunakan
lambang PAS dan hasrat mereka itu telah disambut baik oleh pimpinan PAS. DAP
pula dengan dada terbuka menerima tanda persahabatan dan kesetiakawanan PAS
itu. Dari laporan yang diterima tanda persahabatan dan setiakawan itu dibuat
oleh PAS dengan persyaratan bahawa DAP akan bersetuju dengan PAS untuk
mendirikan Negara Islam dan melaksanakan hudud seperti yang diperjuangkan oleh
Parti Islam itu.
Walaupun
di akhir-akhir ini kedua-dua matlamat itu kelihatan tenggelam timbul akibat
daripada pengaruh Anwarinas atau parasit di dalam PAS yang di”grand design”kan
oleh puak Anwar Ibrahim dan pimpinan DAP.
Karpal Singh
seperti biasa tetap dengan pendiriannya bahawa semangat setiakawan yang
ditunjukkan oleh PAS itu tidak menjadi sebab mengapa DAP harus melembutkan
posisi yang diambil terhadap Negara Islam dan Hudud. Karpal Singh terus
berkeras bahawa DAP tidak sama sekali akan mengubah pendirian bahkan kelihatan
semakin angkuh dan bongkak untuk menolak Islam dan Hudud.
Jelas
kelihatan dalam banyak hal PAS bukan sahaja setakat bersedia untuk berlembut
dari sudut mempertahankan prinsip perjuangan tetapi di pihak DAP pula setakat
yang diketahui aliran jalur teras yang selama ini mereka pegang dan laksana
tidak pernah tergugat. Amaran dan ancaman sering dikeluarkan oleh pimpinan
tertinggi DAP seperti bersedia keluar dari Pakatan dan meletakkan jawatan secara “en-bloc” seandainya PAS meneruskan
hasrat untuk melaksanakan Negara Islam dan Hudud.
PAS pula di
satu sudut yang lain, kadang-kadang kelihatan begitu tegas dan sangat
menyakinkan tetapi pada banyak ketikanya jalur teras yang diambil sentiasa
kehilangan taringnya bak kata pepatah menjadi lembut seperti kerak nasi.
Kita
diberitahu anggapan yang mengatakan bahawa DAP telah menyatakan kesanggupan
untuk menerima perjuangan PAS melalui permohonan mereka untuk menggunakan
lambang bulan milik parti itu tidak lebih daripada sekadar pernyataan untuk
melunakkan hati ahli dan penyokong PAS di samping cuba memenangi hati
pengundi-pengundi Melayu Islam. Kenyataan balas Karpal Singh yang enggan
berundur walau seinci pun dari garis posisi asal mereka membayangkan bahawa DAP
sememangnya parti cauvinis Cina yang berhasrat menjadikan Malaysia negara
sekular dilihat begitu konsisten sejak dari awal lagi.
Parti yang
“flip flop” ialah PAS. Kita kerap melihat keghairahan pimpinan PAS memberi
kenyataan media terutama di kalangan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden
mereka menjadikan PAS seolah-olah hilang punca dan tidak menemui jawapan yang
menepati pukulan maut untuk menyerang balas DAP. Inilah kelemahan PAS.
Kelemahan itu semakin menonjol bila golongan Anwarinas atau parasit menguasai
batang tubuh parti Islam itu.
Untuk PRU ke
13 ini rasanya ahli dan penyokong PAS dan para pengundi tidak perlu lagi
berfikir panjang dan memberi masa kepada saf pimpinan parti itu untuk menolak
DAP dan PKR yang dilihat menjadi batu api kepada hubungan di antara PAS dan
DAP. Para pengundi tanpa ragu-ragu lagi semestinya menolak Pakatan Rakyat dalam
PRU ke 13 ini. Persoalan Negara Islam dan Hudud sebenarnya bukan sahaja tidak
dipersetujui oleh DAP malah PKR pun tidak pernah memberikan persetujuan supaya
Pakatan Rakyat akur kepada hasrat PAS untuk melaksanakan Negara Islam dan Hudud
itu.
Bagi pengundi
Melayu Islam tidak ada yang lebih tinggi daripada mengagungkan Islam dalam
membuat pilihan pada 5hb Mei yang akan datang ini. Atas dasar itu tidak juga
PKR, tidak juga DAP dan tidak juga PAS sendiri yang mempunyai kekuatan dan daya
juang yang tinggi untuk melaksanakan cita-cita agung meletakkan Islam ke
mercunya.
JATI telah pun
menyatakan posisinya secara begitu jelas bahawa atas
alasan-alasan yang kukuh dari sudut syarak dan realiti politik semasa
mewajibkan setiap pengundi Melayu Islam memangkah calon-calon UMNO/BN dalam PRU
ke 13 ini. Diharapkan dengan sokongan NGO-NGO Muslim dan pengundi-pengundi Melayu
Islam akan memberi kekuatan kepada UMNO terutamanya untuk mengambil alih
tanggungjawab mendaulatkan Islam itu. Kita sama-sama mendoakan agar cita-cita
dan hasrat murni ini dikabulkan oleh Allah SWT.
DATO
DR HASAN MOHAMED ALI
PRESIDEN JATI
Tmn Tun Dr Ismail, KL
24 APRIL 2013
DAP MEMPERKUDAKAN PAS.. PAS dipergunakan.. PAS JE TAK SEDAR DIRI...
ReplyDelete